Sunday, February 3, 2013

Photo Seminar Penjawat Awam dan Perjumpaan Khas dengan TPM 31/1/2013











CUEPACS Bahagian Kelantan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbangkan tenaga dan masa bagi menjayakan program ini.

CUEPACS KELANTAN DI PROGRAM JANJI DITEPATI 20/1/2013





Terima kasih kepada semua pihak yang terrlibat menjayakan kaunter CUEPACS Bahagian Kelantan didlam Program Janji ditetapi oleh Perdana Menteri. di RTC Kota Bharu. 20/1/2013

Saturday, February 2, 2013

Perjumpaan Khas TPM bersama penjawat Awam Kelantan anjuran CUEPACS KELANTAN

PENJAWAT AWAM JANGAN ASYIK TAK PUAS HATI - OMAR OSMAN

Bernama
1/2/2013
KOTA BAHARU, 31 Jan (Bernama) -- Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman mengingatkan penjawat awam supaya tidak hanya tahu meluahkan rasa tidak puas hati dengan dasar kerajaan sebaliknya mereka perlu menggalas tanggungjawab yang diberi dengan ikhlas.

Omar berkata penjawat awam perlu sentiasa bersiap sedia memikul tanggungjawab yang diberi dan mereka sepatutnya bersyukur dengan apa yang telah dicapai kerajaan hari ini.

"Penjawat awam jangan asyik tak puas hati sahaja. Tak ada kerajaan yang dapat puaskan hati 100 peratus hati rakyatnya.

"Kerajaan cepat ambil tindakan kalau Cuepacs buat aduan. Setakat ini sudah 20 perkara telah dapat diselesaikan dalam masa enam tahun ini," katanya ketika berucap pada Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri bagi Kelantan di Dewan Utama Kampus Kesihatan Univesiti Sains Malaysia Kubang Kerian di sini Khamis.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Husin.

Perjumpaan Penjawat awam Kelantan anjuran CUEPACS Kelantan

01 Februari 2013

AKAN ADA LAGI BERITA GEMBIRA BUAT PENJAWAT AWAM - MUHYIDDIN

Bernama
1/2/2013

KOTA BAHARU, 31 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa berita gembira bakal diumumkan buat kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini apabila beberapa permasalahan mereka dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Beliau berkata kerajaan sememangnya mengambil berat soal kebajikan penjawat awam yang telah banyak membantu membangunkan negara selama ini.

"Saya faham telah banyak perkara yang telah dapat diselesaikan oleh kerajaan namun masih ada beberapa perkara yang belum selesai.

"Tunggulah dan berdoalah agak panjang daripada biasa kerana mungkin ada berita baik akan diterima (oleh penjawat awam) tidak lama lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Kelantan di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di sini, Khamis.

Turut hadir pada majlis dihadiri lebih 3,000 penjawat awam itu ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman dan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Muhyiddin berkata kerajaan sangat menghargai jasa dan peranan penjawat awam yang pada masa sama telah menjadi "mata dan telinga" kerajaan bagi menyelesaikan masalah rakyat keseluruhan.

Beliau berkata melalui penjawat awam, kerajaan mendengar segala rintihan rakyat yang kemudiannya akan bertindak untuk membela mereka yang memerlukan pembelaan.

Timbalan Perdana Menteri juga menzahirkan rasa bangga dengan peranan penjawat awam yang telah berjaya merealisasikan program transformasi negara sehingga lahir sebagai sebuah negara yang dikagumi.

"Saya bangga dengan peranan penjawat awam ini kerana segala yang kita sasarkan itu telah menjadikan keadaan negara jauh lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Beliau juga mahukan penjawat awam di semua sektor dapat memastikan setiap peruntukan pada belanjawan yang diumumkan dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata soal politik tidak akan diambil kira dalam membangunkan Kelantan kerana yang penting adalah memastikan rakyat negeri itu sama-sama menikmati pembangunan negara.

Pada sesi dialog selepas itu, Muhyiddin berkata kerajaan sama sekali tidak bercadang untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.

Beliau berkata pihak tertentu tidak boleh membandingkan saiz penjawat awam di Malaysia dengan negara lain kerana keadaan itu sangat berbeza sama sekali.

Muhyiddin jturut menafikan negara akan muflis seperti dakwaan pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang bertanggungjawab dan berkemampuan untuk membangunkan negara.

"Selagi kerajaan Barisan Nasional kekal memerintah, kita tidak akan menjadi negara yang bankrap kerana kita ada segala kemampuan," katanya.

Beliau juga berkata segala bentuk bantuan terutama Bantuan Rakyat 1Malaysia akan diteruskan pada masa hadapan jika keadaan ekonomi yang baik ketika ini dapat diteruskan lagi.

-- BERNAMA

Tuesday, January 1, 2013

CUEPACS MAHU KERAJAAN UMUM JADUAL GAJI SECEPAT MUNGKIN



Bernama
30/12/2012


KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Cuepacs Sabtu mahu kerajaan mengumumkan jadual gaji yang lengkap untuk pekerja sektor awam secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat menikmati pergerakan gaji yang mantap.
Setiausaha Agung kongres itu Loke Yim Pheng berkata dengan adanya jadual gaji yang baru, ia juga dapat mengatasi masalah pekerja yang akan menghadapi masalah mencapai tahap gaji maksimum atau 'gaji mati' tahun depan.

"Awal tahun depan, dianggarkan hampir 50,000 penjawat awam akan menikmati gaji maksimum, kalau mereka tidak ada jadual gaji yang lengkap, bermakna mereka tidak dapat pergerakan gaji," katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, Loke yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam Bahasa Inggeris mengajar di sini merupakan cadangan yang baik.

Beliau berkata kemasukan guru dari negara luar dapat berkongsi kepakaran dan idea serta amalan baik dengan guru di negara ini bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif.

"Tetapi, untuk jangka panjang, kita perlu membina dan membentuk satu kumpulan guru yang betul-betul berkualiti dan bertaraf antarabangsa, justeru mereka juga boleh berkongsi idea, kefasihan dalam Bahasa Inggeris dengan negara luar," katanya.

PROSES PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN AWAM MESTI BERTERUSAN, TIDAK STATIK - ALI HAMSA

Bernama
Daripada Ahmad Shukran Shaharudin
30/11/2012



MADINAH, 30 Nov (Bernama) -- Malaysia Juamaat memberitahu satu forum antarabangsa di sini bahawa penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam seharusnya menjadi proses berterusan tanpa henti, walaupun selepas sasaran kemajuanya tercapai.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata penjawat awam perlu memikirkan kemajuan seterusnya yang boleh mereka lakukan bukannya mengekalkan semua yang mungkin dibuat bagi memenuhi keperluan rakyat.

"Mereka (pegawai penjawat awam) perlu berfikir di luar daripada kotak tentang perkara yang akan mereka lakukan seterusnya untuk bergerak ke hadapan dan bukannya mengatakan bahawa mereka telah melakukan segala yang mungkin," katanya pada forum ketika berkongsi pengalaman Malaysia pada sesi bertemu pemimpin e-kerajaan di Madinah yang hadiri, kira-kira 100 orang, di sini.

Ali berkata demikian dalam kertas kerja bertajuk 'The Malaysian Public-Private Partnership (PPP) Experience - Live Case on a Successful Malaysian PPP Model' pada forum anjuran Institut Madinah bagi Kepimpinan dan Keusahawanan (MILE).

Memberi contoh proses untuk memperoleh pasport Malaysia, beliau berkata Jabatan Imigresen boleh memproses permohonan tersebut dan menyerahkan pasport kepada pemohon dalam tempoh sejam berbanding, beberapa bulan sebelum ini.

"Dalam kes ini, selepas ini mungkin, pasport tamat tempoh boleh diperbaharui dengan mudah dan dihantar ke rumah, keesokan harinya," katanya.

Ali juga memberitahu para peserta bahawa perkongsian awam-swasta terbukti penting dalam banyak aspek pembangunan negara, selaras dengan wawasan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi yang maju, menjelang 2020.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MILE Dr Mohamed Moustafa Mahmoud berkata kerajaan hari ini mencari platform yang kukuh untuk mencipta semula dirinya dan digalak untuk mengubah daripada paradigma birokrasi tradisi.

"Tempat ini menekankan pemiawaian, penjabatan dan kecekapan kos operasi," katanya sambil menambah bahawa paradigma e-kerajaan memberi tumpuan kepada kerjasama pembangunan rangkaian yang diselaras, kerjasama luaran dan perkhidamtan pelanggan.

Dr Mohamed berkata minat yang semakin meningkat dalam e-kerajaan meletakkan tuntutan tentang bagaimana kerajaan boleh meningkatkan penerimaan dan penggunaan perkhidmatan kerajaan oleh rakyat.

"E-kerajaan menjadi penting, berikutan potensinya untuk mengurangkan kos dan meningkatkan perkhidmatan, berbanding kaedah alternatif tradisional (daripada perkhidmatan)," katanya.

CUEPACS MAHU KETUA JABATAN PANTAU PERMOHONAN CUTI SAKIT

Bernama
15/12/2012

KANGAR, 14 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu ketua jabatan peka terhadap permohonan cuti sakit penjawat awam bagi memastikan mereka tidak menyalah guna kemudahan itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ada petugas yang sihat terpaksa memohon cuti sakit untuk sesuatu urusan kerana mereka sudah kehabisan cuti tahunan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Seminar Pemantapan Gred Kuasa-Kuasa Tempatan dan Badan-Badan Berkanun 2012 peringkat kebangsaan di Kuala Perlis Jumaat, beliau berkata amalan menipu cuti sakit merugikan perkhidmatan awam.

"Jika ada bukti penyalahgunaan cuti sakit, mereka yang terbabit iaitu penjawat awam atau pegawai perubatan yang mengeluarkan surat cuti sakit boleh dikenakan tindakan," katanya.

Mengulas pelaksanaan usia persaraan sehingga 60 tahun, Omar berkata Cuepacs telah berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar penjawat awam menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka boleh berkhidmat dengan sempurna.