Tuesday, January 1, 2013

CUEPACS MAHU KERAJAAN UMUM JADUAL GAJI SECEPAT MUNGKIN



Bernama
30/12/2012


KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Cuepacs Sabtu mahu kerajaan mengumumkan jadual gaji yang lengkap untuk pekerja sektor awam secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat menikmati pergerakan gaji yang mantap.
Setiausaha Agung kongres itu Loke Yim Pheng berkata dengan adanya jadual gaji yang baru, ia juga dapat mengatasi masalah pekerja yang akan menghadapi masalah mencapai tahap gaji maksimum atau 'gaji mati' tahun depan.

"Awal tahun depan, dianggarkan hampir 50,000 penjawat awam akan menikmati gaji maksimum, kalau mereka tidak ada jadual gaji yang lengkap, bermakna mereka tidak dapat pergerakan gaji," katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, Loke yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam Bahasa Inggeris mengajar di sini merupakan cadangan yang baik.

Beliau berkata kemasukan guru dari negara luar dapat berkongsi kepakaran dan idea serta amalan baik dengan guru di negara ini bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif.

"Tetapi, untuk jangka panjang, kita perlu membina dan membentuk satu kumpulan guru yang betul-betul berkualiti dan bertaraf antarabangsa, justeru mereka juga boleh berkongsi idea, kefasihan dalam Bahasa Inggeris dengan negara luar," katanya.

PROSES PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN AWAM MESTI BERTERUSAN, TIDAK STATIK - ALI HAMSA

Bernama
Daripada Ahmad Shukran Shaharudin
30/11/2012



MADINAH, 30 Nov (Bernama) -- Malaysia Juamaat memberitahu satu forum antarabangsa di sini bahawa penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam seharusnya menjadi proses berterusan tanpa henti, walaupun selepas sasaran kemajuanya tercapai.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata penjawat awam perlu memikirkan kemajuan seterusnya yang boleh mereka lakukan bukannya mengekalkan semua yang mungkin dibuat bagi memenuhi keperluan rakyat.

"Mereka (pegawai penjawat awam) perlu berfikir di luar daripada kotak tentang perkara yang akan mereka lakukan seterusnya untuk bergerak ke hadapan dan bukannya mengatakan bahawa mereka telah melakukan segala yang mungkin," katanya pada forum ketika berkongsi pengalaman Malaysia pada sesi bertemu pemimpin e-kerajaan di Madinah yang hadiri, kira-kira 100 orang, di sini.

Ali berkata demikian dalam kertas kerja bertajuk 'The Malaysian Public-Private Partnership (PPP) Experience - Live Case on a Successful Malaysian PPP Model' pada forum anjuran Institut Madinah bagi Kepimpinan dan Keusahawanan (MILE).

Memberi contoh proses untuk memperoleh pasport Malaysia, beliau berkata Jabatan Imigresen boleh memproses permohonan tersebut dan menyerahkan pasport kepada pemohon dalam tempoh sejam berbanding, beberapa bulan sebelum ini.

"Dalam kes ini, selepas ini mungkin, pasport tamat tempoh boleh diperbaharui dengan mudah dan dihantar ke rumah, keesokan harinya," katanya.

Ali juga memberitahu para peserta bahawa perkongsian awam-swasta terbukti penting dalam banyak aspek pembangunan negara, selaras dengan wawasan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi yang maju, menjelang 2020.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MILE Dr Mohamed Moustafa Mahmoud berkata kerajaan hari ini mencari platform yang kukuh untuk mencipta semula dirinya dan digalak untuk mengubah daripada paradigma birokrasi tradisi.

"Tempat ini menekankan pemiawaian, penjabatan dan kecekapan kos operasi," katanya sambil menambah bahawa paradigma e-kerajaan memberi tumpuan kepada kerjasama pembangunan rangkaian yang diselaras, kerjasama luaran dan perkhidamtan pelanggan.

Dr Mohamed berkata minat yang semakin meningkat dalam e-kerajaan meletakkan tuntutan tentang bagaimana kerajaan boleh meningkatkan penerimaan dan penggunaan perkhidmatan kerajaan oleh rakyat.

"E-kerajaan menjadi penting, berikutan potensinya untuk mengurangkan kos dan meningkatkan perkhidmatan, berbanding kaedah alternatif tradisional (daripada perkhidmatan)," katanya.

CUEPACS MAHU KETUA JABATAN PANTAU PERMOHONAN CUTI SAKIT

Bernama
15/12/2012

KANGAR, 14 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu ketua jabatan peka terhadap permohonan cuti sakit penjawat awam bagi memastikan mereka tidak menyalah guna kemudahan itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ada petugas yang sihat terpaksa memohon cuti sakit untuk sesuatu urusan kerana mereka sudah kehabisan cuti tahunan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Seminar Pemantapan Gred Kuasa-Kuasa Tempatan dan Badan-Badan Berkanun 2012 peringkat kebangsaan di Kuala Perlis Jumaat, beliau berkata amalan menipu cuti sakit merugikan perkhidmatan awam.

"Jika ada bukti penyalahgunaan cuti sakit, mereka yang terbabit iaitu penjawat awam atau pegawai perubatan yang mengeluarkan surat cuti sakit boleh dikenakan tindakan," katanya.

Mengulas pelaksanaan usia persaraan sehingga 60 tahun, Omar berkata Cuepacs telah berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar penjawat awam menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka boleh berkhidmat dengan sempurna.