Saturday, March 31, 2012

CUEPACS MAHU NAMA ANGGOTA SURUHANJAYA DIUMUMKAN SEBELUM 31 MAC



Bernama
25/3/2012|


KOTA BAHARU, 25 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan mengumumkan individu yang akan menganggotai suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara ini selewat-lewatnya penghujung bulan ini.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kongres itu mendapat banyak pertanyaan daripada anggota gabungannya yang mahu mengetahui individu yang akan dilantik menganggotai suruhanjaya itu.

"Kita mahu tahu siapa pengerusi suruhanjaya dan siapa lagi di pihak kerajaan yang berada dalam suruhanjaya itu kerana sehingga kini kita tidak mendapat sebarang maklumat.

"Sebab itu kita berharap kerajaan dapat mengumumkan nama-nama anggota suruhanjaya ini selewat-lewatnya sebelum 31 Mac ini," katanya kepada pemberita selepas seminar Pengurusan Kewangan Penjawat Awam serta Taklimat Penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia di sini, hari ini.

Seminar itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas.

Najib juga turut mengumumkan pembatalan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pelaksanaan semula SSM yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.

Mengulas perkara itu, Omar berkata Cuepacs juga telah bersetuju untuk meletakkan sembilan pegawainya menganggotai suruhanjaya berkenaan yang mampu memberikan cadangan dan pendapat bagi penambahbaikan penjawat awam itu.

"Cuepacs harap penubuhan suruhanjaya ini dapat dilakukan segera dan esok akan diadakan mesyuarat penambahbaikan SSM ini dan jawatankuasa mesyuarat itu akan membuat laporan kepada pihak kerajaan selepas itu," katanya.

Omar berkata draf pekeliling mengenai SSM yang ditambah baik itu akan diteliti di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada 1.4 juta penjawat awam seluruh negara secepat mungkin.

"Kita tidak mahu timbul lagi masalah seperti yang berlaku dalam SBPA sehingga ada penjawat awam yang tidak tahu menahu langsung dan ini yang akan kita pastikan tidak akan berlaku," katanya.

Beliau berkata Kelantan adalah negeri yang pertama diberikan taklimat oleh Cuepacs berhubung penambahbaikan SSM itu sebelum ke seluruh negara secara berperingkat.

-- BERNAMA

Sunday, March 25, 2012

Gambar Kenangan seminar CUEPACS 25 Mac 2012





Gambar Kenangan seminar CUEPACS 25 Mac 2012





LEBIH 2000 ORANG PENJAWAT AWAM HADIR SEMINAR PENGURUSAN KEWANGAN DAN TAKLIMAT CADANGAN PENAMBAHBAIKAN SSM BERJAYA















Kota Bharu 25 Mac 2012 . CUEPACS Bahagian Kelantan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan telah berjaya mengadakan seminar Pengurusan Kewangan dan Taklimat Penambahbaikan Skim Saraan Malaysia dengan cemerlang. Seramai lebih 2000 orang hadir ke Majlis tersebut. Majlis Perasmian telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato' Sri Mustapha bin Mohamad Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Dato Haji Omar Osman Presiden CUEPACS Malaysia, Saudara Azih Muda Timbalan Presiden dan Ketua-ketua jabatan di Negeri Kelantan. Pada seminar kali ini para peserta tidak bergerak dari tempat duduk sehingga program tamat. Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan seminar pada kali ini.

Monday, March 12, 2012

ANGKAT IMEJ PERKHIDMATAN AWAM



Utusan Malaysia

NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
11/3/2012

TENGAH hari selepas pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diumumkan Khamis lalu, saya berkesempatan bersembang dengan tiga orang penjawat awam. Riak wajah mereka ceria. Rancak bertukar cerita sesekali disulami gurauan. Kata mereka, peniaga tentunya kumpulan paling gembira. Naik gaji maknanya ada peluang naikkan harga barang. Naik gaji ertinya kuasa membeli kalangan 1.4 juta penjawat awam bertambah. Luahan kata hati mereka seolah-olah memberi gambaran bahawa kenaikan 13 peratus itu adalah milik peniaga di luar sana. Di akhir perbualan, kami menyimpulkan tajuk perbualan - SBPA, baru bermula sudah berakhir.

SBPA memang sempat bermula. Perjalanan pelaksanaannya amat pantas. Akhir Januari lalu, kumpulan yang memilih SBPA telah pun dibayar gaji baru. Ketika Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membuat bantahan, sebahagian peruntukan kewangan telah pun berlegar kepada para penerimanya. Apabila SBPA dibatalkan, tentunya timbul persoalan perlukah ia dikembalikan. Penerima premier berjanji untuk memulangkan hak sementara itu. Khabarnya mereka sendiri terkejut melihat perubahan gaji yang amat ketara jumlahnya itu dan tidak keberatan mengembalikan kepada kerajaan lantaran memahami kedudukan kewangan negara.

Keterujaan lebih 1.4 juta kakitangan awam berkisar kepada soal imbuhan. SBPA disanggah kerana kenaikan gaji yang amat tidak setara sehingga mewujudkan senario dua darjat antara kumpulan sokongan dengan pengurusan terutamanya Jawatan Utama Sektor Awam dan Turus.

Saya pernah mengajukan perihal perkembangan perkhidmatan awam kepada bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji. Biar pun tajuk temuramah ketika itu tertumpu kepada siri syarahan perdana Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim, soal peningkatan kualiti perkhidmatan awam tidak dilepaskan begitu sahaja.

Berulang kali Ahmad Sarji menekankan tentang kualiti penjawat awam yang menjadi penentu mutu perkhidmatan kepada rakyat dan negara. Beliau bercakap soal ketegasan dan rasa hormat terhadap perkhidmatan awam yang perlu dipelihara. Sebolehnya jangan ada ruang untuk kegagalan, pada masa yang sama laluan terhadap penambahbaikan mesti sentiasa terbuka.

Perkhidmatan awam bukan semata-mata gaji dan imbuhan. Komitmen, cekap, ikhlas, jujur umpama warna pelangi yang saling melengkapi. Hilang satu warna bukan pelangi namanya. Jaluran pelangi tidak akan sempurna jika satu warna hilang atau tercicir. Begitu juga dalam perkhidmatan awam, apabila ciri-ciri yang menjadi darah daging penjawat awam tercicir maka tanggungjawab tidak akan dapat disempurnakan. Sebab itu apabila bercakap tentang perkhidmatan awam, bukan hanya soal gaji. Bukan berapa peratusan pelarasan, bukan juga siapa dan apa yang mereka peroleh semata-mata. Hakikatnya perkhidmatan awam yang ramai anggotanya amat eksklusif sehinggakan martabatnya perlu dipelihara. Jika ada rungutan atau aduan tentang kecacatan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam maka martabatnya jatuh.

Dalam erti kata lain perkhidmatan awam mesti bernafas seiring dengan arus kemajuan dan pembangunan. Kepesatan negara menuntut pemain-pemain di dalam perkhidmatan awam bergerak pantas, bersifat responsif, peka kepada tuntutan semasa, kreatif, inovatif dan pelbagai lagi. Pembaharuan demi pembaharuan menjadikan sektor awam hidup tanpa ada tarikh luputnya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menekankan tentang peri penting penjawat awam beralih dari tradisi birokrasi. Memperkatakan tentang sektor awam maka istilah paling popular atau sinonim adalah birokrasi dan hierarki yang merimaskan.

Perkara itu pernah diakui bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dalam kesempatan menemui beliau akhir tahun lepas. Beliau melahirkan rasa pelik tentang birokrasi keterlaluan - sekeping surat pekeliling akan turun naik dari ketua jabatan ke pengarah, ketua pengarah, ketua setiausaha yang kemudiannya turun semula mengikut carta aliran sebelum boleh dipanjangkan kepada pihak yang berkenaan.

Prosedur ketat dan lapisan hierarki yang keterlaluan melambatkan proses penyampaian maklumat sehingga tindakan segera tidak dapat dilaksanakan tentunya mematikan keberkesanan penyampaian awam.

Fleksibel

Untuk membolehkan malar segarnya sektor awam sebagaimana pihak korporat dan swasta maka tentunya segala amalan ketat mesti diubah menjadi lebih fleksibel supaya dapat memenuhi tuntutan yang sentiasa berubah terutamanya dalam keadaan di luar jangka. Contoh paling mudah kesesakan jalan raya luar biasa di bandar raya Kuala Lumpur kelmarin. Kejadian itu cukup untuk semua pihak mengukur sejauh mana cekap, responsif dan fleksibelnya perkhidmatan awam di negara ini yang mana kakitangannya baru saja menerima berita gembira 13 peratus pelarasan gaji. Sejauh mana kreatif serta inovatifnya jabatan terlibat dalam menangani kesesakan yang menimbulkan kemarahan orang ramai sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti kecemasan. Perkhidmatan awam bukan sekadar melaksanakan kerja-kerja di pejabat. Biar pun perkhidmatan di kaunter awam diakui semakin meningkat namun dalam menangani keadaan di luar jangka yang melibatkan sektor awam, kelemahan masih ketara.

Perubahan sektor awam supaya lebih kreatif, responsif dan pelbagai lagi itu bertujuan mewujudkan sebuah jentera pentadbiran yang lebih kemas dengan saiz anggota yang sesuai. Jangan pula umpama tikus membaiki labu, apabila perubahan yang dibuat hanya mengisi ruang-ruang yang sebenarnya tidak diperlukan dan akhirnya menambah birokrasi dan hierarki. Dalam sektor awam menuju fleksibiliti, mereka kembali kepada tradisi yang akan membunuh kecekapan sektor awam itu sendiri. Seperkara lagi yang sering menimbulkan rajuk kakitangan awam apabila jawatan baru diwujudkan, yang mengisinya adalah orang luar. Kewujudan kategori premier dalam SBPA amat jelas menjurus ke situ apabila jawatan itu turut dibuka kepada orang luar seolah-olah menafikan kebolehan penjawat awam itu sendiri.

Ingatlah kepada piagam pelanggan yang menghiasi dinding-dinding di jabatan awam. Setiap sen yang diperoleh baik menerusi Sistem Saraan Baru, Sistem Saraan Malaysia mahu pun SBPA yang hanya sebulan usianya perlu berlandaskan mutu perkhidmatan kakitangan awam dalam menyampaikan perkhidmatan masing-masing.

Pembatalan SBPA perlu disusuli dengan penambahbaikan mindset penjawat awam sejajar dengan peranan sebenar sektor awam yang hakikatnya sangat penting jika mahu dibandingkan dengan sektor-sektor lain yang agak terhad fungsinya.

Paling penting setiap perubahan yang hendak diperkenalkan mesti benar-benar difahami dan menjalani proses perbincangan berterusan. Sebelum sesuatu dasar dapat dilaksanakan terutama jika melibatkan keseluruhan penjawat awam maka beri penerangan dan buka ruang untuk maklum balas. Jangan nanti terjadi seperti mana pelaksanaan SBPA yang prosesnya berlangsung secara senyap dan sulit tetapi pantas sehingga akhirnya apabila tembelang pecah baunya tidak dapat ditahan. Tentunya ada yang tidak betul dalam perjalanan SBPA sehinggakan bantahan terhadap pelaksanaannya tidak dapat ditahan membawa kepada pembatalan Khamis lalu.

Sememangnya diakui perkhidmatan awam di negara ini sentiasa menjalani proses penambahbaikan. Perjalanan itu tidak sepatutnya berhenti, lantaran masih banyak kelemahan yang perlu diperhalusi dan diperbaiki. Namun perlu diberi perhatian bahawa memperkenalkan pembaharuan bukannya trial and error. Kesannya amat besar sehingga mampu membunuh integriti perkhidmatan awam dan tidak mudah dipulihkan dalam masa yang singkat

PELARASAN GAJI LIBATKAN PERUNTUKAN TAMBAHAN RM6 BILION


Bernama
9/3/2012

JOHOR BAHARU, 9 Mac (Bernama)-- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelarasan gaji berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diumumkannya semalam berikutan pemansuhan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) melibatkan peruntukan tambahan RM6 bilion.

Perdana Menteri berkata peruntukan tambahan itu disediakan kerana kerajaan mahukan lebih ramai penjawat awam menikmati pelarasan gaji maksimum terutama golongan dalam kategori kumpulan pelaksana ataupun sokongan.

"Kali ini kita nak ramai yang menikmati pelarasan gaji maksimum sehingga 13 peratus, jadi kita naikkan sampai kepada Gred 54. Dengan ini kita terpaksa cari peruntukan tambahan yang kesemuanya lebih RM6 bilion tetapi jumlah sebenar kita sedang tentukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Taman Molek di sini Jumaat. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya peruntukan tambahan itu juga termasuk peruntukan untuk kenaikan elaun Bantuan Sara Hidup (COLA).

Perdana Menteri sementara itu menyangkal dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya tindakan kerajaan mengumumkan pemansuhan SBPA semalam adalah ekoran desakan pembangkang .

"Merujuk ucapan perbelanjaan Bajet 2012 yang saya bentangkan Oktober tahun lalu, saya bagi komitmen bahawa penjawat awam akan terima pelarasan gaji 7 hingga 13 peratus.

"Tetapi apabila SBPA digubal, ia tergelincir daripada tafsiran yang telah saya umumkan, sebab itu kerajaan ambil keputusan untuk kembali semula terhadap komitmen yang telah saya berikan Oktober tahun lepas.

"Ini tidak ada kena mengena dengan apa yang didakwa oleh pembangkang. Dia ni (Anwar) biasalah "lembu punya susu, dia mahu nama". Dah kerja pembangkang," katanya.

Beliau berkata, pembatalan SBPA itu juga tiada kaitan dengan pilihan raya umum ke-13 akan datang sebaliknya lebih kepada soal mengotakan janji yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini dalam Belanjawan 2012.

Perdana Menteri semalam mengumumkan SBPA yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Jan 2012 dibatalkan dan mengekalkan SSM yang ditambah baik.

Beliau juga mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54, bagi Kumpulan Gred Utama C,B,A (9 peratus), Gred Turus 3 dan 2 (8 peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (7 peratus) selain kenaikan COLA.

Sementara itu, Najib melahirkan keyakinan Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan pemerintahan di Johor dalam pilihan raya umum akan datang.

"Johor jelas bahawa nampak rakyat ceria, jadi rasanya masih lagi sebuah negeri yang terasnya BN. Kita boleh rasa," katanya.

Beliau mahu kerajaan negeri meneruskan hubungan positif dengan semua lapisan masyarakat di negeri ini dengan cara berhemah dan rendah diri supaya rakyat terus menyokong BN.

CUEPACS MAHU GRED KUMPULAN TEKNIKAL DAN PERTANIAN DIKEKALKAN DI BAWAH SSM


Bernama
9/3/2012


KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu gred kira-kira 70,000 penjawat awam dalam kumpulan teknikal, sains dan pertanian, yang dinaik taraf di bawah pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), dikekalkan walaupun skim itu telah dibatalkan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ini kerana tuntutan kenaikan gred kumpulan itu, yang melibatkan jawatan juruteknik, pembantu pertanian, pembantu veterinar serta pembantu renjer hutan, telah dilakukan kira-kira 15 tahun lepas dan hanya dilaksanakan selepas SBPA diperkenalkan.

Beliau berkata di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM), jawatan juruteknik adalah mengikut Gred J17 manakala pembantu pertanian dan renjer hutan pula G17.

"Kita hendak mereka dikekalkan di bawah penambahbaikan SSM. Kita tidak mahu mereka diturunkan gred sebab perkara tuntutan ini sudah lama dibuat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas CUEPACS.

Omar berkata selepas pelaksanaan SBPA, jawatan juruteknik Gred J17 dinaik taraf kepada Gred J27 manakala jawatan pembantu pertanian dan renjer hutan Gred G17 dinaik taraf kepada Gred G27.

Beliau berkata Cuepacs akan mengajukan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara pada pertemuan yang dijadual diadakan minggu depan.

Selain itu, katanya, Cuepacs meminta jawatan yang dijumudkan di bawah kelayakan Penilaian Menengah Rendah dikekalkan dan bagi yang tidak cukup syarat, dikecualikan.

GAJI NAIK, COLA TAMBAH

NAJIB memberi ucapan pada Perhimpunan Khas Kakitangan Awam dengan Perdana Menteri di PICC, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail

NAJIB memberi ucapan pada Perhimpunan Khas Kakitangan Awam dengan
Perdana Menteri di PICC, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PM umum pemansuhan SBPA, Sistem Saraan Malaysia ditambah baik

PUTRAJAYA: Berita gembira buat 1.4 juta kakitangan awam apabila kerajaan semalam mengumumkan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus bagi semua gred penjawat awam, selain kenaikan Elaun Sara Hidup (COLA). Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui TV1 dan TV3, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengumumkan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan 1 Januari lalu tetapi banyak menimbulkan kontroversi, dibatalkan. Kerajaan memutuskan penggajian kakitangan awam dikekalkan di bawah sistem Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.

Pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) SSM itu menyaksikan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Pelaksana Gred 1 hingga 54 menikmati pelarasan sebanyak 13 peratus.

Gred Utama dan Gred Khas C, B dan A akan menikmati pelarasan sembilan peratus, Turus III dan II (lapan peratus) dan Turus I serta Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).

Selain itu, kadar COLA bagi kawasan B (di antara bandar dan pedalaman) dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, manakala untuk kawasan C (pedalaman) daripada RM100 kepada RM150.
Pelarasan gaji itu berkuat kuasa 1 Januari lalu yang mana penjawat awam akan menerima gaji tertunggak. Difahamkan, gaji baru akan dibayar sama ada akhir bulan ini atau bulan depan.

Ia antara tujuh keputusan diumumkan Perdana Menteri pada perhimpunan khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dihadiri 15,000 penjawat awam, semalam.

Najib berkata, kerajaan faham SBPA mengundang keresahan, terkilan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penjawat awam walaupun ia komited untuk mempertimbangkan semakan semula, pelarasan gaji atau satu bentuk saraan baru bagi menggantikan SSM pada tahun ini.

“Sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi mereka (penjawat awam), sebagai kerajaan yang mendengar keluh kesah penjawat awam menerusi wakil mereka, CUEPACS, maka kita mengambil keputusan pada 12 Januari lalu supaya struktur saraan baru yang diperkenalkan, dikaji semula,” katanya.

Perdana Menteri berkata, keputusan yang diambil kerajaan itu adalah berdasarkan kepada saranan CUEPACS berkaitan saraan penjawat awam serta implikasi kewangan kerajaan yang mungkin terbabit.

“Anggota perkhidmatan awam adalah tiang seri keramat kerajaan, sebaik mana pun dasar digubal, betapa manfaat pun dasar digubal, ia tidak akan bermakna jika pelaksanaannya tidak berkesan atau tidak cekap (kerana) peranan penjawat awam sebagai pelaksana dasar adalah amat penting,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan peka dan prihatin dengan isu saraan yang dibangkitkan oleh penjawat awam yang menyaksikan semakan semula gaji perkhidmatan awam secara berkala dan yang terakhir dilakukan pada 2007 membabitkan kenaikan gaji antara 7.5 peratus hingga 35 peratus.

Najib berkata, dalam membuat keputusan, kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik yang perlu mendahulukan kepentingan rakyat, tetapi pada masa sama faktor lain terutama keupayaan kewangan kerajaan, tidak diketepikan.

“Kerajaan amat mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk bersama-sama mengharungi dan mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu walaupun kita telah berjaya mengeluarkan negara daripada gelora ekonomi global," katanya.

INFO: Keputusan lain yang diumumkan Perdana Menteri

  • Penubuhan suruhanjaya dianggotai oleh semua pihak berkepentingan mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia yang bukan saja membabitkan saraan, tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam yang diperlukan negara pada masa depan.

  • Struktur gaji SSM akan diubah suai daripada Jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-Maksimum dengan kadar kenaikan gaji tahunan (KGT) bagi gred 1-54 ditetapkan di antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. KGT bagi JUSA dan ke atas kekal menggunakan KGT SSM dengan pelarasan ikut peratus ditetapkan.

  • Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekalkan.

  • Kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya bagi guru berasaskan prinsip ‘time-based’ Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti diumumkan dalam Bajet 2012.
  • Saturday, March 10, 2012

    Possing Bersama Dato Pa di PICC





    YB Aziz Galas Meraikan Rombongan CUEPACS Kelantan












    Satu hubungan yang baik CUEPACS Kelantan dengan Pemimpin Masyarakat YB Aziz Galas telah bermurah hati meraikan rombongan CUEPACS Kelantan balik dari PICC pada 8 Mac 2012. Jamuan Makan Malam di Kelab Golf Gua Musang telah diadakan pada jam 9.00 malam.

    CUEPACS Bahagian Kelantan merakamkan ucapan terima kasih diatas kesudian YB Aziz Galas meraikan rombongan serta beramah mesra dengan peserta rombongan. Terima kasih sekali lagi semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahan segala urusan YB. terima kasih.

    Dato Pa meraikan Rombongan CUEPACS Kelantan






    CUEPACS Bahagian Kelantan merakam ucapan setinggi terima kasih kepda Dato Sri Mustapha Mohamad diatas jasabaik mengadakan jamuan makan malam "steamboat" di Restoran nelayan Tasik Titiwangsa pada 7 Mac 2012 sempana Perhimpunan Penjawat Awam bersama PM pada 8 Mac 2012.

    Seramai 80 orang rombongan CUEPACS Kelantan yang bertuah telah menikmati "steamboat" setelah penat perjalanan dari Kota Bharu untuk ke PICC. TerimaKasih kepada En. Nordin Pengawai Khas kepada Dato Pa yang telah menguruskan Jamuan yang begitu "grand" dan prestij sekali. Terima kasih harap lain kali nak lagi.

    PERHIMPUNAN KHAS PENJAWAT AWAN BERSAMA PM MENGEMBIRAKAN





    Terima kasih kepada PM atas pengistiharan kenaikan gaji 13% bagi kumpulan 54 kebawah, 9% bagi kumpulan Jusa dan 7% bagi kumpulan Turus. Kenaikan ini mengembirakan kakitangan awam tetapi kurang gembira bagi kumpulan atasan!!.

    Pembatalan SBPA diganti dengan penambahbaikan SSM akan dibuat dengan mengambil kira kebaikan cadangan SBPA dengan menolak isu yang tidak dapat diterima oleh penjawat awam. Penjawat awan jangan bimbang kerana dalam masa terdekat pihak CUEPACS telah pun bersedia menghantar draff cadangan penambahbaikan SSM yang akan dipertimbangkan oleh pihak kerajaan.

    Tahniah dan terima kasih kepada Presiden CUEPACS dan rakan-rakan kepimpinan CUEPACS atas kerja keras dalam menjayakan perjuangan dan impian penjawat awam

    Saturday, March 3, 2012

    JOM Ke PICC 8 Mac 2012

    Kepada semua penjawat awam Negeri Kelantan yang ingin bersama ke Dewan PICC pada 8 Mac 1012 bagi mendengar pengumuman keputusan bantahan isu SBPA olehYB. Perdana Menteri bolehlah memohon kelulusan dari Jabatan Masing-masing pergi secara resmi atau cuti tanpa rekod. Surat jemputan dan kelulusan CTR boleh didapati dengan menghubungi Setiausaha CUEPACS Kelantan Puan Hasnah Mohamad di Majlis Daerah Machang atau Penolong Setiausaha Haji Othman Hussain di Pejabat Kementerian Hal Ehwal Pengguna (Bawah JPP) Kota Bharu.

    Jangan sayang RM untuk belanja ke KL... laa Penjuang -Penjuang CUEPACS telah habis banyak masa,tenaga dan wang ringgit untuk kes SBPA.Tuan/puan hanya korban cuti 2 hari jee dan belanja gi balik KL. Masaalah anak sekolah dan lain-lain tuu... biasa .. kalu nak gii tuan/puan usaha laaaa..